“SAYA percaya apa yang berlaku dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)
berpunca daripada masalah dalaman persatuan itu terutama di kalangan pegawai
kerana saya masih yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim
(Presiden KOM) untuk menerajui KOM,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek.
Katanya, Shahidan bukan saja menerajui KOM tetapi turut memimpin Persatuan
Renang Amatur Malaysia (Asum) yang meraih 19 pingat emas dalam acara akuatik
pada temasya Sukan Sea di Jakarta baru-baru ini, sekali gus membuktikan
kepemimpinan beliau dalam memastikan kecemerlangan atlet di peringkat
antarabangsa.
“Jika kepemimpinan beliau (Shahidan) dipertikai tidak mungkin kejayaan memberangsangkan itu dicapai dengan keseluruhannya meraih 25 pingat emas termasuk enam menerusi atlet olahraga.
“Saya tiada masalah dengan Shahidan dan yakin dengan kepemimpinannya untuk
menerajui badan induk olahraga negara itu,” katanya selepas merasmikan
Konvensyen Pegawai-Pegawai Belia dan Sukan SeMalaysia di Kompleks Belia dan
Sukan Paroi Seremban, semalam.